Pameran Basikal Klasik
Bertempat di Muzium Darul Ridzuan, Perak
2 Mei 2017 - 31 Julai 2017
9.00 pagi - 5.00 petang
Masuk adalah percuma
Antara aktiviti yang dianjurkan ialah Bengkel, Jom Kayuh, Permainan dan Tayangan Video
Pameran Basikal Klasik dianjurkan oleh LEMBAGA MUZIUM NEGERI PERAK
Koleksi basikal dan aksesori dimiliki oleh
KELAB KOMUNITI PEMILIK BASIKAL KLASIK MALAYSIA
Konsep dan Instalasi: WHITEBALANCE STUDIO
Artikel dari Utusan Online, 14 Jun 2017
Sehubungan itu, bersempena dengan Tahun Melawat Perak 2017, Lembaga Muzium Negeri Perak mengambil inisiatif untuk menganjurkan Pameran Basikal Klasik di Muzium Darul Ridzuan di sini.
Pameran berkenaan yang dianjurkan dengan kerjasama Kelab Komuniti Pemilik Basikal Klasik Malaysia, telah berlangsung sejak 2 Mei lalu dan akan berakhir pada 30 Jun ini.
Pengarah Lembaga Muzium Negeri Perak, Nor Janati Ibrahim berkata, pameran tersebut antara lain membawa pengunjung menyingkap sejarah dan evolusi basikal melibatkan era 1800.
Beliau berkata, keunikan pameran tersebut terletak pada basikal jenis 'Penny-Farthing' yang dihasilkan sekitar tahun 1870.
Basikal ‘Penny-Farthing’ mula mengaplikasi roda logam bagi menggantikan penggunaan kayu sebelum ini.
Basikal tersebut menggantikan era basikal jenis Velocipede yang diperkenalkan oleh Syarikat Machinists pada tahun 1869.
“Pada pameran ini, pengunjung boleh menyaksikan basikal-basikal klasik asli dari England yang berada di Tanah Melayu beserta aksesori dan teknologi pembuatannya.
“Pameran ini secara tidak langsung dapat memberikan pendedahan khususnya kepada generasi muda untuk menyaksikan evolusi basikal pada suatu masa dahulu selain membawa nostalgia kepada para peminatnya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pada tahun 1873, pembuatan basikal ditambah baik dengan pacuan roda dan rantai yang dirujuk sebagai ‘basikal keselamatan’.
Thomas Shergold dikatakan telah membina pacuan rantai terawal pada tahun 1876 sebelum memfailkan hak ciptaannya di bawah nama ‘Bicyclette’ atau turut dikenali sebagai ‘Crocodile’, pada tahun 1879.
Pengeluaran basikal kemudian ditambah baik dengan penciptaan rangka berlainan bagi kegunaan wanita pada tahun 1880 sebelum terhasilnya basikal dengan reka bentuk berlian dikenali sebagai Basikal Humber pada tahun 1884.
Menjelang tahun 1895, basikal lelaki memiliki reka bentuk batang besi melintang sementara basikal wanita melencong ke bawah.
Pembuatannya pula semakin diperkemas pada abad ke-20 apabila logam campuran digabung bersama aluminium bagi meringankannya supaya basikal dapat bergerak dengan lebih laju.
“Jika kita perhatikan penggunaan basikal sejak dahulu, posmen dan anggota bomba turut menggunakan basikal.
“Malah, basikal juga digunakan oleh masyarakat terdahulu dalam kegiatan ekonomi untuk mengangkut hasil padi dan getah. Tentera Jepun turut memasuki Tanah Melayu dengan berbasikal,” kata Nor Janati.
Sehubungan itu katanya, orang ramai dialu-alukan menyaksikan pameran basikal klasik tersebut yang dibuka pada setiap hari dari pukul 9 pagi sehingga 5 petang.
Lembaga Muzium Negeri Perak turut menganjurkan aktiviti tutorial, bengkel, jom kayuh, permainan serta tayangan video sepanjang pengisian pameran tersebut.
Masuk adalah percuma dan sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut boleh diajukan kepada Muzium Darul Ridzuan di talian 05-2410048